
MARANG: “Saya menerima dengan hati terbuka perkahwinan Mohammad Faizal dengan wanita pilihannya yang hanya dikenali dengan panggilan Norasyikin, walaupun berita perkahwinan mereka hanya diketahui dua bulan lalu,” kata Ramly Yaacob, 60, bapa penyanyi Faizal AF4 dari Kampung Sungai Kerak Satu, di sini.
Menurutnya, sebelum ini Faizal pernah menyuarakan hasrat untuk berkahwin, namun mereka sekeluarga menganggap ia satu gurauan sehinggalah mengetahui anaknya sudah berkahwin dua bulan lepas.
Katanya, wanita pilihan Faizal berasal dari Temerloh, Pahang dan pernah berlakon bersama dalam Filem Momok The Movie sebagai pelakon tambahan bersama Faizal ketika itu.
Sebelum berkahwin, Faizal pernah membawa pulang isterinya itu, namun dia tidak menduga anaknya benar-benar berkahwin dengan wanita berkenaan sehinggalah Faizal sendiri mengesahkannya.
“Saya tidak tahu di mana mereka berkahwin dan hanya tahu mengenainya melalui perbualan telefon apabila dia mengakui sudah beristeri.
“Kami berhasrat mengadakan majlis kenduri di sini, namun tarikhnya belum ditetapkan kerana dia (Faizal) kini sibuk mempromosikan filem di ibu negara,” katanya.
Bagaimanapun dia tidak terkejut dengan berita perkahwinan itu dan menganggap jodoh anaknya sudah sampai walaupun mereka berkahwin secara sembunyi.
Malah dia juga tidak tahu mengapa Faizal dan isterinya memilih untuk merahsiakan perkahwinan mereka.
Ibunya, Zanidah Awang, 48, berharap peminat Faizal dapat menerima keputusan yang diambil anaknya itu dan menganggap tindakan berkenaan bertujuan menjaga popularitinya.
Mereka sekeluarga bercadang ke Kuala Lumpur berjumpa anak dan menantu dalam masa terdekat bagi mengetahui situasi sebenar berikutan tersebarnya berita perkahwinan Faizal yang berlangsung 12 Februari lalu di lokasi tidak diketahui.
Zanidah berkata, dia menerima perkahwinan berkenaan kerana itu adalah pilihan anaknya dan dia menolak khabar angin yang mengatakan anaknya ditangkap khalwat sebelum ini.
“Kami sekeluarga tidak berapa mengenali isterinya itu kerana dalam pertemuan tahun lalu, dia diperkenalkan sebagai peminat Faizal dan kami tidak menyangka akhirnya mereka berkahwin,” katanya.
Seorang penduduk kampung yang ditemui, Mohamad Zuhaidi Omar, 19, berkata dia amat terkejut dengan berita perkahwinan Faizal AF4, yang diketahui tiga hari lalu melalui perbualan bersama rakan yang baru pulang dari ibu kota.
“Saya sangka sebagai artis, Faizal akan melangsungkan perkahwinan secara besar-besaran, sebaliknya dia memilih untuk merahsiakan perkahwinannya itu.
“Kami sebelum ini hanya mengetahui berita mengenai dia ditangkap khalwat dan penduduk kampung tidak mengetahui sejauh mana kebenaran berita terbabit sehinggalah dikhabarkan mengenai berita perkahwinannya secara sembunyi,” katanya.
Bagaimanapun katanya perkahwinan adalah hak peribadi penyanyi itu dan Faizal mungkin mempunyai alasan tersendiri bertindak demikian.
Sumber: Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan: Syafrein.com,Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas,Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info

